“Rasa kasih,
sayang dan cinta bukan satu perjudian untuk menentukan menang atau kalah tapi
ia adalah ikatan hati yang menentukan nilai satu perhubungan, kesetiaan dan
ketulusan”
Bukan sedikit
orang yang menganggap remeh persoalan cinta. Cinta selalu dikaitkan dengan
mereka yang tiada pendirian teguh dalam hidup. Itu silap, cinta penting
lantaran ia anugerah ILAHI untuk setiap hamba-NYA. Sesiapa yang mendapat cinta
akan merasai nikmatnya hidup. Sesiapa yang gagal mendapat cinta akan merasakan
hidupnya kosong.
Cinta itu
penting, maka itu bukan manusia saja ada perasaan cinta. Haiwan turut bercinta
dalam maknanya yang berbeza. Haiwan dihantui cemburu, marah, dengki, khianat
dan juga curang, manusia betapatah lagi. Unsur-unsur inilah yang menjadikan
cinta sesuatu yang sangat menyakitkan meskipun pada asalnya ia menjanjikan
keseronokan, kenikmatan, kebahagiaan, persefahaman dan lain-lain yang membawa
makna serupa.
Cinta itu
penting kerana dengan cintalah manusia mendapat kekuatan untuk membuktikan
sesuatu. Dengan cinta manusia sanggup memanjat gunung, menuruni lurah, menyeberang
lautan, malah kadangkala berdepan dengan singa lapar. Begitulah hebatnya
penangan cinta. Tatkala ia menyelubungi hati, seluruh alam kelihatan indah,
padahal pada waktu itu hari telah diselubungi gelap.
Cinta boleh
mencerahkan yang kedam malah kadang-kadang memberi warna pada kehitaman.
Hebatnya cinta hingga ada orang tidak berasa lapar walaupun tidak makan
berhari-hari. Dia sanggup mempertaruhkan dirinya demi cinta. Dia sanggup
berdepan dengan apa saja. Cinta adalah motivasi terulung dan teragung baginya.
Begitulah hebat
dan berkuasanya cinta. Sayang, sesetengah orang menjadi semakin lemah oleh
cinta. Cinta menjadikannya semakin malas hendak berusaha. Apabila cintanya
bermasalah atau mati di tengah jalan dia hilang haluan. Dia menyeksa dirinya
sendiri dengan berasa sedih.
Kesedihan itu
sendiri masih boleh diterima. Maklum, namanya pun manusia, dibekali emosi yang
sering berubah-ubah mengikut situasi apa yang didepaninya. Bersedih itu salah
satu sifat semula jadi manusia, tetapi jika terlalu sedih ia mencabar tahap
normal seseorang manusia.
Lihatlah kisah
Laila dengan Qais dalam filem “Laila Majnun”. Setelah pinangan Qais ditolak
lantaran miskin, Qais hilang ‘kejantantannya’. Saban hari dia menangis dan
merindui Laila dan duduk merempat di birai masjid. Dirinya semakin tidak
terurus. Apa yang terkeluar dari mulunya hanya “Laila… Laila… Lailaaaa…”
Akhirnya tampil
diri Qais tidak ubah seperti seorang yang gila. Dia diejek oleh kanak-kanak,
kadang-kadang ada yang membalingnya dengan batu. Masih hatinya tidak terbuka
untuk membuktikan sesuatu.
Lihatlah betapa
cinta boleh menjadi manusia begitu bodoh dan tolol sekali. Andainya sungguh
Qais inginkan Laila, sepatutnya dia tinggalkan kampung berkenaan dan kembali
dengan setimbun harta, sebab itu pun syarat yang diberikan oleh ayahanda Laila.
Dengan menangis dan merayu, itu hanya meruntuhkan martabatnya sebagai seorang
lelaki, yang sepatutnya kuat dan tuntas jiwa.
Cinta itu
penting tetapi usah terlalu dipentingkan. Apabila cinta terlalu dipentingkan,
yang lain-lain akan nampak tidak penting. Jadikan cinta booster dalaman untuk
membina kejayaan dan kecemerlangan. Keterbilangan kita kadang-kadang ditentukan
oleh rasa cinta kita, tetapi kadang-kadang ketewasan kita juga ditentukan oleh
perasaan cinta kita.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar