Tidak mendapat
restu keluarga kekasih memang menjadi satu masalah dalam sebuah percintaan.
Sebab tidak menyukai atau tidak memberi restu kepada calon menantu ini boleh
menganggu kelancaran hubungan anda dengan bakal suami atau isteri.
Biasanya masalah
tidak disukai keluarga kekasih sering berpunca daripada perbezaan taraf
kehidupan, taraf pendidikan, rupa paras dan sebagainya.
Apabila pihak
keluarga mula menunjukkan ketidaksenangan mereka terhadap bakal menantu,
perkara-perkara remeh dan kecil pun boleh dikembangkan menjadi isu besar.
Keadaan ini sudah tentu membawa impak atau kesan buruk terhadap dunia
percintaan anda.
Dan ironisnya,
apa yang kerap terjadi, adalah pihak keluarga pasangan yang menentang hubungan
tersebut akan bermati-matian berusaha untuk memisahkan pasangan kekasih yang
saling mencintai ini jika pasangan itu terlihat bersatu padu mengatasi pelbagai
cubaan atau halangan yang mendatang itu.
Nampaknya cinta
semata-mata tidak memadai atau mencukupi untuk mereka menghadapi sebuah
perkahwinan yang penuh dengan duri itu. Ini semakin menghimpit jika kedua-dua
belah pihak keluarga dan rakan-rakan tidak memberi sokongan moral malahan turut
bersikap menjatuhkan.
Keadaan ini
sebenarnya boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, malah sering menyangkut soal
fahaman, perbezaan warna kulit, harta kekayaan, budaya dan agama. Kerana itu
tidak hairan jika anda hanya berasa aman dan bahagia ketika dapat berdua-duaan
dengan kekasih kerana saat ini tidak ada gangguan daripada orang yang tidak
menyukai, walaupun sebenarnya anda berasakan amat memerlukan pergaulan secara
terbuka dengan rakan-rakan dan lingkungan keluarga. Yang lebih menyakitkan lagi
apabila keluarga kekasih menjauhkan pasangan anda daripada aktiviti keluarga.
Anda juga tidak
pernah dijemput dalam acara atau majlis-majlis penting yang diselenggarakan
keluarga si dia. Sehingga membuat anda dan si dia tidak tahu apa yang patut
dilakukan, samada meneruskan perhubungan terlarang ini atau berpisah sahaja
kerana tuntutan pihak keluarga pasangan yang amat melampau.
Akhirnya
pilihan memang bergantung kepada keputusan anda berdua. Apalagi kalau anda
sudah nekad merancang untuk tetap meneruskan hubungan itu hingga ke jinjang
pelamin. Jangan gelabah atau membebankan pasangan dengan meletakkannya di
antara dua pilihan.
Cara terbaik
adalah dengan menyelesaikan masalah itu secepatnya. Jika sudah mengambil
keputusan untuk menikah, sudah tiba masanya keluarga pasangan masing-masing
mengetahui lebih jauh mengenai calon menantunya. Memang bagi keluarga yang
mementingkan kedudukan sukar untuk meminta mereka menerima diri anda seadanya.
Jangan
menunjukkan pasangan dengan sikap anda yang keanak-anakan. Boleh jadi sikapnya
yang terlihat lemah atau mengalah dengan keluarganya selama ini bukan kerana
tidak bangga dengan anda tetapi mungkin dia malu dengan sikap keluarga atau
rakan-rakannya dan mungkin juga dia tidak mahu keluarganya atau rakan-rakannya
melakukan perkara yang tidak sepatutnya (seperti sengaja menyakitkan hati) pada
anda.
Dia juga
mungkin berasa malu kerana belum berjaya memujuk keluarganya agar menerima anda
dalam keluarga mereka. Sebaik-baiknya bincangkan masalah ini dari hati ke hati.
Katakan pada pasangan betapa bangganya anda terhadap dirinya kerana tetap
memilih anda sebagai kekasihnya walaupun mendapat tentangan hebat dari
keluarganya.
Jelaskan kepada
si dia, berikan sekali lagi kesempatan kepada keluarga untuk mengenal anda
berdua dengan lebih lanjut. Bukankah ada pepatah mengatakan “Tak Kenal Maka Tak
Cinta”. Jadi, biarkan mereka mengetahui dengan lebih jauh siapa anda
sebenarnya. Dalam hal ini, kesabaran anda memang amat dituntut.
Ingatkan
kembali kepada si dia jika keluargany masih bersikap negatif terhadap diri
anda, kerana itu akan menyakitkan diri anda meskipun kekasih masih setia di
samping anda. Jika anda dan kekasih sama-sama memiliki ketabahan dan percaya
diri, cari orang yang bersimpati dengan anda dan dikenali oleh keluarganya.
Bantuan orang ini barangkali boleh membantu mencairkan masalah anda dengan
keluarga kekasih. Sebagai orang muda, anda bebas untuk saling mencintai,
menikmati indahnya bunga-bunga cinta dan jangan mudah putus asa dengan berfikir
yang bukan-bukan. Namun apabila sudah nekad untuk mendirikan rumahtangga
pastikan ketika itu anda berdua sudah mendapat restu daripada keluarga kedua-dua
pihak, sebab rumahtangga yang tidak direstui keluarga sering dilanda badai yang
tidak terduga.
Biarpun di
dadaku hanya ada kamu tetapi cinta pun bukan segala-galanya. Kita tidak boleh
korbankan semuanya hanya kerana cinta. Belajarlah menerima kenyataan, jika
cinta yang sudah anda pertahankan dengan sepenuh hati tetapi tetap tidak
mendapat restu. Percayalah masih ada dada cinta lain yang boleh anda sandarkan
kasih sayang.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar